Thursday, April 17, 2014

Ketentuan Allah


Sebuah hadis ada menyebut:
لاَ يَرُدُّ الْقَضَاءَ إِلاَّ دُعَاءٌ
“Tidak ada yang dapat menolak ketentuan Tuhan kecuali doa”
Usaha kita dalam mencari jodoh perlulah bersandarkan kepada iman dan diiringi dengan doa yang berpanjangan.  Berdoalah banyak-banyak dengan bersungguh-sungguh kerana mengharapkan rahmat daripada Allah agar insan yang kita pilih itu dijodohkan dengan kita.
“Jodoh ketentuan di tangan Tuhan”. Itulah ungkapan yang sering kita dengari apabila berbicara tentang soal hati. Malah ada yang sudah berputus asa dan rasa muak dengan ungkapan tersebut kerana sudah sering mendengarnya setiap kali usai meluahkan rasa hati kepada seseorang. Jangan sekali-kali kita berputus asa daripada rahmat Allah sebaliknya, sandarkan lah perjalanan hidup kita kepada ketentuan Qada’ dan Qadar, iaitu takdir yang baik mahupun yang buruk. Itu adalah syarat pertama jikalau kita mahu mencari pasangan hidup, dengan tujuan kerana ingin mendapatkan keredhaan-Nya. Jika kita hanya mencari pasangan kerana terikut-ikutkan keadaan semasa di sekeliling kita, atau hanya kerana suka-suka, nescaya tujuan kita itu tidak disandarkan kepada iman sepenuhnya dan nescaya hati kita akan gundah-gulana dan bagaikan dirobek apabila pilihan di hati tidak menjadi kenyataan.
Hal yang demikian itu sebenarnya merangkumi segenap aspek dalam kehidupan seorang Muslim dengan lebih menyeluruh, bukan terhad hanya dalam soal hati. Ia adalah resepi kehidupan yang sempurna dalam kita mengejar kebahagiaan hidup yang hakiki. Di dunia dan di akhirat. Bersyukurlah dengan segala kurniaan-Nya. Hiduplah dengan penuh sederhana. Kerana itulah intipati kepada cara hidup Islam.
 Manusia hanya menggunakan 15% daripada akalnya dan 85% daripada hatinya dalam mencari rumusan atau jawapan, cuma, bagaimana Akal dan Hati itu berfungsi ianya bergantung kepada manusia itu sendiri. Adakah kita dalam keadaan tenang ketika mencari jawapan ataupun dalam keadaan resah dan gelisah menanti jawapan yang tidak pasti? Adakah si dia insan yang menjadi pilihan hati itu jodoh kita?
Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Tuhan Yang Maha Esa. Tetapi bagaimana kita hendak mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Tuhan mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan akal untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi, spiritual dan fizikal antara keduanya.
Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. 

Jodoh tiada kaitan dengan keturunan. Hanya belum sampai masanya. Ia bagai menanti jambatan untuk keseberang. Kalau panjang jambatannya, jauhlah perjalanan kita. Ada orang jodohnya cepat sebab jambatannya singkat. Usia 25 tahun rasanya belumlah terlalu lewat. Dan usia 35 tahun belum apa-apa kalau sepanjang usia itu telah digunakan untuk membina kecemerlangan. Nyatakanlah perasaan dan keinginan anda dalam doa-doa lewat solat. Allah itu Maha Mendengar. Wanita baik untuk lelaki yang baik, sebaliknya wanita jahat untuk lelaki yang jahat. Yakinlah pada janji-Nya kerana kita orang yang beriman.
Biar lambat jodoh asalkan mendapat Mr. Right dan biar seorang diri daripada menjadi mangsa lelaki yang tidak beriman kemudian nanti. Memang kita mudah tersilap mentafsir kehidupan ini. Kita selalu sangka, aku pasti bahagia kalau mendapat ini. Hakikatnya, apabila kita benar-benar mendapat apa yang kita inginkan itu, ia juga datang bersama masalah. Kita juga selalu melihat orang memandu kereta mewah dan terdetiklah dihati kita, alangkah bahagianya orang itu. Hakikatnya, apabila kita sendiri telah memiliki kereta mewah, kita ditimpa pelbagai karenah. Tidak mustahil pula orang yang memandu kereta mewah terpaksa membayar lebih tatkala berhenti untuk membeli durian di tepi jalan.
“Bukan semua yang anda sangka membahagiakan itu benar-benar membahagiakan. Bahagianya mungkin ada tapi deritanya juga datang sama. Semua benda pasti ada baik dan buruknya.”
Demikian juga perkahwinan. Ia baik sebagai saluran yang betul untuk melepaskan syahwat tapi ramai juga orang yang berkahwin hidupnya semakin tidak terurus. Ramai orang menempah neraka sebaik melangkahkan kaki ke alam berumahtangga.  Bukankah dangan Ijab dan Kabul selain menghalalkan hubungan kelamin, tanggungjawab yang terpaksa dipikul juga turut bertambah? Bukankah apabila anda gagal melaksanakannya, anda membina dosa seterusnya jambatan ke neraka? Berapa ramaikah yang menyesali perkahwinan padahal dahulunya mereka bermati-matian membina janji, memupuk cinta kasih malah ada yang sanggup berkorban apa sahaja asal impian menjadi nyata?

Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar-benar mengerti segala tuntutannya. Berkahwin itu menjanjikan pahala tidak putus-putus bagi yang menjadikannya gelanggang untuk menjadikan syurga sebagai matlamat. Berkahwin itu sempadan dari ketidaksempurnaan insan kepada kesempurnaan insan – bagi yang mengetahui rahsia-rahsianya. Berkahwinlah demi Tuhan dan Nabi-Nya, bukan kerana perasaan dan mengikut kebiasaan. Jodoh usah terlalu dirisaukan, tiba masanya ia akan datang menjemput, namun perlu juga anda membuka lorong-lorongnya agar jemputan itu mudah sampai.
“…Kekayaan yang paling kaya adalah akal, kemiskinan yang paling besar adalah jahil, keburukan yang paling hodoh adalah sesat.”
p/s : Tidak berguna adanya mata andai tidak dapat melihat, tak guna adanya hati kalau tak tahu menilai. Nilailah hati itu dengan teliti sebelum pergi mengundur diri kerana segalanya bermula dengan niat yang bertempat di hati.

No comments:

Post a Comment