Sabda Rasulullah SAW: “Apabila seorang hamba itu menyumpah seranah sesuatu, naiklah segala perkataannya itu ke langit lalu ditutup segala pintu langit kepadanya kemudian turun pula dia ke bumi maka ditutup juga pintu-pintunya kepadanya kemudian ia pergi ke kanan dan ke kiri. Jika tidak ada celah untuk pemergiannya barulah ia kembali kepada orang yang dihadapkan sumpah seranah itu kalau ia berhak menerimanya. Kalau tidak, ia kembali semula kepada orang yang mengucapkannya.” (Riwayat Abu Daud)
Sifat bertenang dalam tekanan adalah satu kekuatan yang perlu ada pada setiap manusia melayari kehidupan apatah lagi dengan pelbagai cabaran perlu diharungi dewasa ini. Rasulullah SAW mengajar sahabat sifat bertenang dan mengawal diri dalam banyak perkara serta peristiwa.
Pada satu hari, seorang Badwi berkata kepada Baginda yang sedang membahagikan harta rampasan perang supaya membahagikan dengan adil kerana pembahagian itu dibuat bukan kerana Allah! Tidaklah Rasulullah SAW menjawab selain daripada menjelaskan kepadanya apa yang lelaki itu tidak tahu dan menasihati serta mengingatkannya apa yang telah terlanjur daripada mulutnya dengan bersabda: “Malangnya engkau! Siapa lagi yang akan berlaku adil kalau tidak aku? Aku akan kecewa dan rugi kalau aku tidak berlaku adil.” (Riwayat Muslim)
Tahap ketabahan manusia menghadapi kesusahan dan ujian dalam hidup adalah berbeza. Setengah orang cepat dipengaruhi emosi oleh perkara kecil sehinggakan melihat masalah kecil itu besar menggunung, seolah-olah tidak ada lagi jalan keluar di depannya.
Sebahagian manusia pula bersedia menanggung kesusahan hidup dengan fikiran yang waras. Seseorang yang berjiwa besar sentiasa berfikiran positif dan tertanam dalam jiwanya sifat ‘hilm’ iaitu sifat yang menjadikan seseorang itu tidak cepat marah dan mengambil keputusan buruk.
Orang seperti itu tidak keberatan memaafkan kesilapan orang terhadapnya dan selalu bersangka baik. Firman Allah SWT: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertakwa; Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang yang menahan kemarahannya dan orang yang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah), Allah mengasihi orang yang berbuat perkara baik.” (Surah Ali-Imran, ayat 133-134)
Penawar kepada segala perbalahan dan pertikaian sama ada kecil atau besar ialah mengawal kemarahan dan bersedia memberi kemaafan daripada mengambil sikap membalas dendam atau bertindak balas.
No comments:
Post a Comment